Monday 1 August 2011

~ selamat berPUASA : mulut berbau :)

DI samping perbincangan aspek kebaikan dan kenikmatan berpuasa, jarang sekali disentuh aspek berpuasa yang dikaitkan dengan bau mulut yang busuk atau nafas yang tidak segar yang keluar ketika kita bercakap dengan orang lain khususnya melibatkan orang bukan Islam.

Bagi umat Islam aspek ini agak sukar diperdebatkan dan lebih baik mendiamkan diri sahaja manakala bagi orang bukan Islam aspek mulut berbau itu merupakan sisi negatif bagi amalan berpuasa untuk umat Islam. Jika dikaitkan dengan mulut berbau ketika berpuasa, alasan yang digunakan hanyalah dengan mengutarakan hadis Rasulullah SAW dengan sabdanya: Demi Allah, yang diri Muhammad berada dalam genggamanNya, sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuas lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. (Muttafaq 'Alaih).Tetapi tiada penjelasan mendalam mengenai hadis berkenaan kerana yang diambil kesimpulan hanyalah maksud zahirnya sahaja.


Jika dilihat dari segi zahir penegasan Baginda SAW mengenai bau mulut orang yang berpuasa, ia merupakan aspek yang tidak dapat diterima nalar atau akal sihat. Ini kerana hujah yang diberikan itu dilihat daripada aspek luarannya sahaja. Sebenarnya mereka harus mendalami dan melihat daripada aspek kerohaniannya atau hikmah di sebalik pernyataan Baginda SAW itu. Mereka harus mengamati kemanfaatannya secara luas daripada tujuan pelaksanaan amalannya.


Hakikatnya secara etimologi, puasa bererti menahan diri daripada makan, minum, dan berkata-kata (yang tidak diperincikan) perbuatan daripada hal-hal yang membatalkan puasa dengan disertai niat berpuasa.Sebahagian ulama mendefinisikan puasa adalah menahan nafsu, anggota badan, perut dan alat kelamin bermula sejak terbitnya fajar sampai terbenamnya matahari dengan disertai niat tertentuNamun tiada daripada maksud menahan diri daripada berkata-kata atau bercakap dalam perkara yang tidak membawa kemanfaatan atau faedah.




Sebenarnya bau mulut busuk bagi mereka bagi mereka berpuasa itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Ia seolah-olah mengelak dan menghalang umat Islam daripada banyak bercakap dalam perkara yang tidak membawa kebaikan dan membuang masaSemakin banyak berbicara dalam perkara sedemikian semakin banyaklah dosa yang dibuat tambahan pula apabila soal yang dibicarakan berkaitan dengan fitnah, mengumpat, berita palsu, gosip atau menipu. Ini bentuk percakapan yang tidak terarah atau membuang masa. Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda: "Allah berfirman: "Setiap amal anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melain puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku membalasi puasanya itu. Puasa itu bagaikan perisai; maka apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan jangan pula berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka jangan pula berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, maka hendaklah ia mengatakan: "Aku berpuasa."


Itulah kata hikmatnya 'Aku berpuasa'. Banyak bercakap di waktu berpuasa ibarat menuangkan air ke daun keladi. Apa yang dimaksudnya di sini dengan berjaya menahan lapar dan dahaga sepanjang hari itu sudah menghasilkan pahala yang terus-menerus, namun pahala-pahala itu akan terburai melalui lidah yang tidak bertulang, lisan yang membawa kata-kata yang tidak berfaedah terutamanya yang dibicarakan ialah kepincangan atau kecacatan orang lain (ghibah dan fitnah). 


Oleh itu maksud kerohanian daripada bau mulut busuk atau nafas yang tidak segar ialah menghindari daripada berbuat fitnah, menipu atau bersembang kosong.Dengan berpuasa bererti umat Islam telah mengendalikan nafsu syahwatnya sedangkan dengan menahan bercakap merupakan bahagian yang membentuk karakter dan pola fikir yang positif bagi orang yang mampu menjalaninya. Dalam sebuah hadisnya Baginda SAW bersabda: "Berpuasalah supaya kalian menjadi sihat". Maksudnya dengan menahan lapar dan dahaga itu menjadikan badan manusia menjadi sihat bugar. Tetapi dengan menahan berkata-kata bukan sekadar sihat jasadnya saja tetapi sihat juga pemikirannya dan percakapannya.


Menahan diri daripada perkara-perkara yang tidak membawa faedah demi mengutamakan urusan Allah SWT daripada urusan duniawi maka perilaku tersebut akan berupaya menghasilkan kemanfaatan emosi, rasional dan spiritual yang lebih universal, sehingga terciptalah kesihatan jasmaniah dan rohaniahnya.


Namun ada beberapa cara untuk mengelakkan bau nafas ketika berpuasa seperti berikut :-
  • Jangan atau kurangkan pengambilan makanan yang berbau seperti petai, jering, bawang putih atau bawang mentah ketika bersahur.
  • Selepas sahur minum air kosong dengan kuantiti yang banyak.
  • Disarankan berkumur-kumur dengan antiseptik untuk menghilangkan bau mulut.
  • Mengosok gigi dan lidah anda sebelum tidur dan selepas bersahur.

*dari sumber yg boleh dipercayai :)
*selamat berPUASA . . .


~aretul_purplish~
Syukran, Thanks, Terima kasih for reading :)

2 comments: